ALOR GAJAH: Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali mengakui kekacauan politik yang berlaku ketika ini akan mengakibatkan rakyat bertambah benci.
Menurut beliau, hubungan antara parti yang membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN) sepatutnya dijaga dengan baik untuk memastikan pentadbiran berjalan dengan lancar.
Sulaiman berkata, isu politik atau peralihan kuasa ini sangat lah tidak wajar berkumandang buat masa ini ketika negara masih berhadapan dengan pandemik Covid-19.
“Saya nak sampaikan supaya berhenti pasal politik ni, janganlah politik 24 jam kerana banyak lagi perkara yang nak diselesaikan dan apabila tiba sudah masanya (Pilihan Raya Umum) kelak kita hadapinya.
“Hubungan yang kita ada sekarang ini kita jaga baik-baik. Kalau saya rakyat pun dah benci dan jijik dengan politik ini, Covid-19 libatkan politik, esok atau lusa kalau dia sakit perut pun dia cakap ini politik punya pasal.
“Jadi rakan-rakan saya di luar sana kita hendaklah menghentikan bercakap politik, fokus kepada rakyat yang hari ini terkesan dengan Covid-19,” katanya selepas merasmikan Galeri Interaktif Planetarium Al-Khawarizmi, Kompleks Falak Al-Khawarizmi di Tanjung Bidara pada hari ini.
Isnin lalu, UMNO melakukan satu pertimbangan untuk menarik diri daripada menyokong gabungan politik PN pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Kenyataan itu telah timbul selepas Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada pagi Isnin.
Sementara itu, Sulaiman juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu menegaskan bahawa kerajaan negeri pimpinannya masih berjalan seperti biasa sehingga hari ini.
“Selagi Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) kata kerajaan masih ada kita teruskan tunai tanggungjawab dan esok-esok kalau Datuk Seri SUK menelefon saya kata kerajaan sudah tidak ada kita turunlah dan kita cerita pasal politik pula,” ujarnya.
9 Mac lalu, Sulaiman telah mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri ke-12 setelah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang sebaik Bersatu keluar daripada gabungan itu.
UMNO Melaka kini mempunyai 13 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) serta dua lagi ADUN Bersatu dan dua ADUN Bebas yang menyokong PN untuk membentuk kerajaan negeri.
Sumber – utusan.com.my
Amin is the prolific writer behind www.laporanmediasemasa.com, a dynamic platform that serves as a trusted source for current issues in Malaysia. With a keen eye for relevant and informative content, Amin’s work contributes to keeping the Malaysian community well-informed and connected to local affairs.