Jawatan TPM: Fokus memperbaiki keadaan negara dahulu.

Kepemimpinan%2BUMNO%2Bwajar%2Bmelupakan%2Bseketika%2Bisu%2Bjawatan%2Btersebut%2Bpada%2Bwaktu%2Bini%2Bkerana%2Bia%2Bbukan%2Bmasa%2Byang%2Bsesuai.

GEORGETOWN – Isu jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM) tidak perlu diberikan keutamaan ketika ini bagi mengelak daripada berlakunya pergolakan politik terutamanya ketika negara sedang bertungkus-lumus berhadapan dengan penularan wabak Covid-19.

Veteran UMNO, Tan Sri Mohd Yussof Latiff berkata, kepemimpinan UMNO seharusnya melupakan seketika isu jawatan tersebut pada waktu ini kerana ia bukan lah masa yang sangat sesuai.

Menurutnya, pada waktu ini, tumpuan perlu diberikan untuk pembaikan ekonomi rakyat Malaysia dan bukannya hanya untuk merebut jawatan TPM.

“Jika diikutkan, jawatan TPM langsung tiada kena mengena dalam Perlembagaan. Oleh itu, dengan isu yang dihadapi pada waktu ini (Covid-19), saya rasa lebih elok kita lupakan dahulu tentang hal tersebut (jawatan TPM). Hal ini demikian kerana Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ada pendapat beliau sendiri malah sekarang ini juga kita telah ada Menteri-menteri Kanan.

“Sepatutnya kita berusaha membina kembali ekonomi negara dan atasi Covid-19, kita tidak perlu pun merebut jawatan TPM kerana ia akan mengakibatkan kerajaan yang sedia ada terjejas. Kita harus fokus dengan masalah yang dihadapi sekarang dahulu,” katanya kepada media ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.

Mohd Yussof berkata, jawatan TPM adalah kuasa penuh Perdana Menteri dalam memilih calon yang sangat sesuai untuk bersama dengannya bagi memimpin negara.

“Sebenarnya jawatan TPM ialah satu tradisi ataupun satu adat yang dimulakan Almarhum Tunku Abdul Rahman.

“Hak melantik TPM juga hanya boleh di lantik di tangan Perdana Menteri supaya beliau mempunyai timbalan yang sesuai untuk bersama-sama mengimbangi tugas-tugas mentadbir negara,” katanya.

Dalam waktu itu, beliau berkata, pada masa ini kepemimpinan UMNO perlu melakukan pembersihan parti supaya diterima kembali dalam golongan muda.

“UMNO perlu dibina semula bersama-sama serta parti-parti komponen seperti MCA supaya rakyat yakin kembali dengan mereka.

“Saya yakin jika perkara ini di buat dengan betul, Pilihan Raya Umum Ke-15 nanti UMNO akan diterima baik oleh rakyat dan ketika itu jika UMNO mendapat mandat baharu disebut mengenai jawatan TPM,” katanya.

Terdahulu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyatakan bahawa isu jawatan TPM untuk diisi pemimpin UMNO akan dibangunkan semula sebaik sahaja Belanjawan 2021 yang sedang dibahaskan di Parlimen selesai.

Ismail Sabri berkata, perkara itu tidak pernah tidak diendahkan kerana UMNO pemilik kerusi terbesar dalam kerajaan ketika ini selain tidak ada pemimpin UMNO diberikan jawatan tertinggi dalam Kabinet melainkan satu daripada empat jawatan menteri kanan yang disandang beliau.

Walaubagaimanapun, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi meminta pemimpin dan ahli UMNO tidak memaksa Perdana Menteri untuk mewujudkan semula jawatan TPM dengan memberikan ruang yang berkenaan kepada parti itu.


Sumber: sinarharian.com.my

Leave a Comment